ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
SHARIFAH AINI (1994)
SHARIFAH AINI TETAP BERTENAGA oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro - Selasa, 29 November 1994) |
Saya tidak dapat berbohong bahawa Sharifah Aini adalah antara penyanyi Melayu terbilang yang mampu mendodoi hingga ke tidur saya. Sewaktu kecil, saya sering mendengar lagu-lagunya seperti 'Kini Hatiku Telah Tertawan', 'Dari Masa Hingga Masa' dan 'Kekasih Pujaan' diputarkan di corong radio saban hari. Malah hingga kini, rasanya masih belum ada penyanyi lain yang mampu membawakan lagu 'Kasihnya Ibu' sebaik beliau. Seperti yang diingatkan oleh Perdana Menteri baru-baru, pujian-pujian itu hanyalah kepada Yang Maha Berkuasa, lalu saya gembira dan bersyukur Malaysia memiliki penyanyi bersuara emas seperti Sharifah Aini. Kini selepas empat tahun tidak merakamkan lagu, penyanyi yang berasal dari Johor Bahru ini kembali semula bersama album terbarunya. Selepas mendengar berulangkali, jelas bahawa suara Sharifah Aini bertenaga seperti dulu walaupun adakalanya ia kedengaran seperti kekurangan nafas. Namun secara dasar, hak cipta suara beliau masih lagi terpelihara. Harus dinyatakan tidak semua lagu daripada album ini hebat dan memuaskan. Lagu yang menarik ialah Rindu Menghiasi Kamar Cinta ciptaan Ahmad Nawab dan Juwie, Di Pinggir Kayangan (Raja Kobat), Menaruh Harapan (A Ali), Bunga Tanjung (Ahmad Jaffar) dan Berakhir Satu Kelukaan (Ahmad Nawab/S Amin Shahab). Sementara lagu Akhirnya Jadi Cinta, Duka Di Ambang Riang dan Bersama Rindu Ini tidak menjadi kerana melodinya kurang sesuai dengan gaya nyanyian Sharifah. Lagu Rindu Menghiasi Kamar Cinta mempunyai sentuhan komersil dan boleh menjadi pengubat rindu kepada mereka yang meminati lagu sentimental seperti Hapuslah Airmatamu dan Tiada Maaf Bagimu. Sharifah juga menyanyikan semula lagu semi klasiknya, Bunga Tanjung yang pernah digubah oleh Ahmad Nawab di tahun 70-an. Kalau dibandingkan lagu asal, Bunga Tanjung gubahan terbaru Jenny Chin ini sudah kehilangan sentuhan orkestra lebih-lebih lagi violin. Sebagai ganti, Jenny menggunakan alat muzik kesukaannya, keyboards. Meskipun dentuman muzik di bahagian intronya hebat, muzik itu menjadi kurang mengasak di bahagian tengah dan berbeza dengan sentuhan Ahmad Nawab. Jika bukan Sharifah Aini yang menyanyikannya, tidak mustahil 'Bunga Tanjung' layu terkulai. Apa yang dikesalkan, hasil daripada kerja yang kurang teliti akhirnya menyebabkan lirik asal lagu ini ternoda. Sepatutnya Sharifah harus menyebut "Gagah sungguh, pohonmu berdiri" dan bukannya "menari". Ini kerana "menari" adalah bagi rangkap kedua iaitu "sangat sombongnya, bungamu menari"!Sebuah lagi lagu, Di Pinggir Kayangan, tidak kurang menariknya. Lagu berentak ghazal ini pernah dirakamkan oleh Norma Kadir di tahun 80-an. Namun dengan pengalaman luas mengalunkan lagu asli, hasil ciptaan Raja Kobat ini menjadi begitu indah apabila diserahkan kepada Sharifah. Pujian juga harus diberikan kepada kulit album ini yang memaparkan hanya wajah penuh si penyanyi. Meskipun ada yang berkata ia ditiru daripada album artis Barat, hasil yang diubahsuai tampak unik pula dan menghilangkan kesemua tahi lalat Sharifah yang sering bertaburan diwajahnya itu! |
'RINDU MENGHIASI KAMAR CINTA' MENGUBAT SEPI PEMINAT (Pesta, April 1994) |
Setelah menghilangkan diri buat beberapa purnama penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini akan kembali menyerikan hiburan senisuara dengan lagu-lagu yang segar dan ceria. Sharifah Aini yang telah 27 tahun berkecimpung dalam bidang senisuara merupakan seorang wanita yang sensitif. Baginya amat sukar bidang yang telah sebati dengan darah dagingnya ini dipisahkan. Pernah dia berkata, Biar apa jua yang terjadi, apa juga yang ditempuhi, namun dia tidak akan tinggalkan dunia senisuara. Dengan lahirnya album terbaru kali ini, pasti Sharifah Aini dapat menyeri dan memeriahkan lagi dunia senisuara sepanjang tahun 1995 nanti. Pastinya tidak keterlaluan kalau dikatakan biduanita bersuara emas ini boleh mengubat dan menghibur para jutaan peminat yang sebegitu lama merindunya. Bahkan Sharifah Aini tidak akan menghampakan peminatnya dengan album ini, bila dlihat pada para pengubah yang hebat-hebat belaka. Seperti Ahmad Nawab, S Atan, Fauzi Marzuki, A Ali, Raja Kobat dan sebuah lagu lama yang masih segar Bunga Tanjung khazanah dari Tan Sri P Ramlee. "Ani harap lahirnya album ini, hapuslah segala kisah dulu yang Ani alami selama Ani menghilang diri," ujar Sharifah Aini, penyanyi yang mempunyai bakat semula jadi tersendiri. Semua peminat tahu kisahnya yang sentiasa menapak kamar mahkamah dengan berbagai persoalan. Sungguhpun duka berbuku di dalam dadanya, namun Sharifah Aini tetap hadir di khalayak ramai dengan menguntum senyum dan berwajah riang. Mendung hitam dan kelabu yang bercambah di sekeliling hidupnya tidak pun menjadi halangan atau cedera dalam ceria kehidupannya. Segala kenangan pahit ini sudah dibungkus dan diikat seketatnya dan dicampakkan jauh di lautan samudera. Dengan berbekalkan ketabahan itulah Sharifah Aini juga tidak pernah pudar semangatnya untuk terus menyanyi walaupun seberapa ramai penyanyi-penyanyi baru muncul dan pergi. "Membuat sesuatu itu biarlah bersungguh-sungguh, jangan sambil lewa atau cuma cuba-cuba," ujar biduanita yang berketurunan Arab itu. Dalam perkara ini Sharifah Aini ingin berpesan pada artis-artis baru dan yang telahpun menempa nama di alam senisuara, kalau ingin bertahan lama haruslah sanggup tabah menghadapi segala dugaan dan sentiasa mempelajari ilmu ketahanan suara dan semangat. "Ani nampak penyanyi hari ini mempunyai pontensi di segi suara, gaya dan lain-lainnya. Mereka pasti beroleh kejayaan dengan adanya peralatan yang canggih pada masa ini," ujarnya. |